Monday, November 19, 2007

Kemanisan Wanita..



Di manakah kemanisan seseorang wanita muslim? Saya sebagai seorang wanita yang kian meningkat dewasa masih tertanya-tanya di manakah kemanisan yang harus dikecapi supaya dia dipandang teramat istimewa dan tinggi pada pandangan Illahi.

Saya pernah terdengar bicara seorang teman mengenai sifat seorang wanita yang amat berkait rapat dengan pohon semalu. Kata teman saya, wanita seharusnya mengambil iktibar dan pengajaran daripada pohon semalu ini dari empat aspek.

  1. Pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya). Oleh sebab itu, wanita dilahirkan dengan penuh rasa sensitif dan emosional.

  2. Pohon semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita Muslim. Jadi seorang wanita yang beriman tidak akan mudah merelakan kesuciannya diragut oleh tangan-tangan kasar biarpun dengan satu sentuhan.

  3. Semalu mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin. Untuk itu, seorang wanita harus taat kepada Allah seterusnya menjadi seorang wanita solehah, isteri yang taat dan ibu yang mithali.

  4. Semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, wanita sekalian haruslah kembali ke rumah tatkala senja mula melabuhkan tirainya untuk mengelakkan fitnah dan demi menjaga maruahnya.

Ambillah pengajaran dari semalu walau ia tumbuhan yang kecil amat.
Tidakkah anda melihat betapa Islam meletakkan wanita pada kedudukan semanis-manisnya? Jika semua saranan Rasulullah ini dituruti ia cukup manis dan semua yang bertentangan menjadikannya pahit bagai hempedu.

1 comments:

13may said...

wanita memang manis manis :)