Wednesday, October 31, 2007

Cinta Pertama..3

Hari ini Ramadan yang ke-17, hari Nuzul Al-Quran. Seperti biasa, aku akan menunaikan solat terawikh di masjid negeri bersama Kak Lisa. Entah mengapa malam ini ada perasaan aneh menyusup di sanubariku. Selepas solat tarawikh aku sengaja tidak menunaikan solat sunat witir kerana aku ingin bertahajud sebelum bersahur. Aku mengundurkan diriku dari saf solat ketika jemaah lain menunaikan solat witir.

Ketika aku ingin mengambil sepatuku di rak kasut, kelihatan seorang lelaki sedang duduk di tangga berdepan dengan rak kasut tersebut. Jantungku berdegup kencang tatkala dia menoleh ke arahku. Wajahnya tidak pernah kulupa, senyum yang sentiasa terukir di bibir lantas dilontarkan senyum itu padaku. Aku masih lagi terpinga-pinga dengan penuh tanda tanya yang berserabut di minda.

“Maaf kerana buat Mas menunggu lama, Kak Lisa yang membantu Syam menerobos rahsia dalam hati Mas. Cerita Kak Lisa tentang Syam intim dengan rakan sekerja hanya rekaan semata-mata. Ia hanya untuk mengusik hati kecil Mas sahaja. Syam harap Mas tidak terguris dengan gurauan seperti itu”, Syam ketawa kecil sementara jantungku terus bergelojak laju seakan menanti kata-kata seterusnya.

“Syam ingin menoktahkan penantian Mas Syawal ini. Syam yakin dah bertemu dengan apa yang dicari. Sebenarnya Syam sengaja tak mahu mengikat hati Mas. Syam tak mahu kita hanyut dalam perasaan cinta. Ada baiknya cinta kita diikat dengan hubungan yang halal. Keluarga Syam akan ke rumah Mas nanti. Nantikan Syam di mahligai cinta kita wahai Masturaku..”, sambung Syam dengan bersuara tenang.

Sukar untukku gambarkan perasaan ini. Ada rasa syukur yang teramat. Rupanya inilah hikmah yang kunanti. Malam itu, aku yakin akan cinta pertamaku, Kamarul Hisyam..

0 comments: